Sindiket haram tawar pas pekerja asing tumpas

Sindiket haram tawar pas pekerja asing tumpas

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan empat warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan pas khas imigresen secara haram kepada pendatang asing terbongkar ekoran operasi dijalankan Jabatan Imigresen di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan Bandar Bukit Raja, Selangor.

Sindiket beroperasi sejak setahun lalu itu dikesan menawarkan pas khas secara tidak sah kepada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang tinggal lebih masa atau tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM2,500.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin hingga semalam itu melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun. 

“Semakan mendapati dua daripada mereka memiliki PLKS dalam sektor pembinaan, manakala dua lagi tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya juga merampas 134 pasport pelbagai negara, termasuk 117 pasport Bangladesh, selain Nepal (4), Myanmar (6), Indonesia (6) dan India (1). 

“Selain itu, pihak berkuasa turut merampas wang tunai berjumlah RM69,380, empat unit telefon bimbit, satu komputer riba serta dua kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza yang dipercayai digunakan dalam kegiatan haram tersebut,” katanya. 

Menurut Zakaria, siasatan mendapati sindiket ini bukan sahaja menguruskan pas khas secara tidak sah, malah menawarkan perkhidmatan mengubah suai pas pekerja atau ePASS kepada warga asing.

“Ejen haram berkenaan menjadikan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal sebagai sasaran utama. Dengan bayaran tertentu, mereka mengurus pas itu bagi membolehkan pelanggan terus berada di negara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, keempat-empat suspek kini disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang wanita warga tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN