KANGAR: Ketiadaan mekanisme yang jelas bagi menentukan hanya pembeli daripada golongan miskin atau B40 sahaja dibenarkan membeli beras tempatan bersubsidi menyaksikan, sesiapa sahaja boleh membeli beras berkenaan.
Pemerhatian Mingguan Malaysia di pasar raya dan kedai runcit mendapati, orang ramai membeli beras bersubsidi berharga RM26 bagi berat 10 kilogram (kg) itu tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan di kaunter bayaran.
Bagaimanapun, beras tempatan hanya dibenarkan dibeli dua kampit untuk setiap seorang, namun tidak ada mekanisme bagi mengetahui mereka adalah golongan B40.
Seorang pekerja sebuah pasar raya di sini berkata, pada masa ini, sesiapa sahaja boleh membeli beras berkenaan, namun hanya dua kampit sahaja.
Katanya, bekalan beras tempatan di rak-rak ketika ini masih banyak dan ramai juga pelanggan masih membeli beras import.
“Setakat ini, tidak ada lagi arahan atau mekanisme menjual beras tempatan tersebut kepada golongan tertentu. Kami pun tidak tahu sama ada seseorang pelanggan itu orang susah atau senang kerana ia sukar ditentukan.
“Mustahil kita hendak periksa kad pengenalan pelanggan atau bertanya mereka golongan apa apabila membeli beras itu. Ia tidak praktikal,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, peniaga makanan tidak wajar mengambil kesempatan ‘mengangkut’ beras putih tempatan (BPT) bersubsidi dengan pembelian berulang kali tanpa mempedulikan nasib golongan yang benar-benar layak untuk mendapatkan bekalan beras tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad dilaporkan berkata, bagi mengelak perkara itu berlaku, Kawal Selia Padi dan Beras perlu memantau dan mencari mekanisme terbaik memastikan BPT tidak dimonopoli golongan peniaga.
Kata Razali, beras subsidi itu sepatutnya untuk golongan yang memerlukan dan diharap tidak ada peniaga mengambil kesempatan membeli beras berkenaan untuk tujuan perniagaan berasaskan makanan.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, sebanyak 2.62 juta kampit BPT sudah diedarkan di seluruh Semenanjung membabitkan 21,190 premis runcit meliputi pasar raya, kedai runcit dan lain-lain.
Dalam pada itu, seorang peniaga kedai runcit pula memberitahu, setakat ini dia menjual beras bersubsidi kepada sesiapa sahaja warga tempatan untuk dua kampit sekali pembelian.
Katanya, jika terdapat pembelian berulang kali pada hari-hari berikutnya, tidak ada sebarang arahan untuk menyekatnya setakat ini.
“Kita jual kepada sesiapa sahaja cuma bukan warga asing. Pengguna hanya boleh membeli dua kampit sahaja sekali pembelian, itu memang kita pantau.
“Setakat ini, tidak ada sebarang pembelian panik kerana bekalan beras tempatan itu masih banyak. Ramai juga yang kekal membeli beras import.
“Jika dahulu sukar, sekarang beras tempatan sudah mudah didapati,” katanya. – UTUSAN