KUALA KANGSAR: Seorang anggota polis parah manakala tiga yang lain cedera ringan selepas kenderaan pasukan yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 257, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini petang tadi.
Difahamkan, kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu membabitkan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah.
Kemalangan dikatakan berlaku selepas van polis yang dinaiki kesemua anggota terbabit hilang kawalan ketika menuruni bukit dalam keadaan hujan sebelum terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan.
Mangsa yang parah merupakan pemandu van manakala tiga yang cedera adalah penumpang hadapan dan belakang kenderaan.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi aplikasi X memaklumkan, kemalangan itu mengakibatkan lorong kiri terhalang namun keadaan trafik adalah terkawal. – UTUSAN