KUALA LUMPUR: Penyanyi dan usahawan, Noraniza Idris, menolak sebarang rundingan sebaliknya menyerahkan kes penipuan membabitkan sebuah akademi latihan keusahawanan yang dihadapinya sekarang ini sepenuhnya dikendalikan pihak berkuasa.
Kata penghibur yang mendapat julukan Ratu Pop Tradisional itu, ruang perbincangan yang sebelum ini diberikan kepada pihak akademi berkenaan telah disia-siakan justeru dia nekad menyerahkan kes itu kepada polis.
“Saya tidak nafikan memang pihak mereka ada hubungi saya namun ketika itu saya sibuk menyediakan dokumen untuk diserahkan kepada polis selepas nekad untuk menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa.
“Sebelum itu puas saya hubungi mereka namun panggilan saya tidak dilayan. Oleh yang demikian, akhirnya saya membuat keputusan untuk adukan kes ini kepada polis supaya pihak terbabit diambil tindakan,” katanya.
Noraniza ditemui pada sidang media dan majlis berbuka puasa Starvendors KL Mega Raya Fest di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya baru-baru ini. Dia dijadualkan membuka reruai jualan sempena acara tahunan itu di KL Base Lapangan Terbang TUDM, Sungai Besi bermula 20 hingga 24 Mac ini.
Pemilik nama penuh Nor Aniza Idris itu pada 4 Mac lepas memfailkan aduan di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan sebuah akademi latihan keusahawanan sekaligus menanggung kerugian bernilai RM630,000.
Penyanyi berusia 57 tahun itu memaklumkan pihaknya tidak menerima bayaran untuk 20,000 pek produk makanan ringan yang dibekalkan kepada akademi berkaitan.
Penyanyi yang mesra disapa sebagai Kak Ani itu dalam pada itu dengan tegas menuntut akademi berkenaan memulangkan bayaran yang pihak mereka janjikan kepadanya.
“Kalau ikutkan saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Sebagai sesama Islam dan Melayu, saya harapkan mereka selesaikan urusan mereka dengan pihak kami. Saya cuma mahukan mereka pulangkan bayaran yang telah dijanjikan. Seperti mana yang dijadualkan itu (bayaran), pulangkanlah.
“Saya halalkan nilai kerugian (RM630,000) yang saya tanggung itu. Tapi bayaran bagi produk saya yang mereka sudah ambil dan jual, sudah dibeli orang pun, itu yang saya tuntut. Kalau dikira, tak sampai pun RM100,000.
“Tapi, laporan polis telah pun saya failkan. Saya cuma harap pihak mereka dapat memberikan kerjasama apabila dipanggil pihak polis nanti. Dan saya juga sedia berdepan dengan mereka jika diminta pihak berkuasa untuk berbuat demikian.
“Mampu atau tidak (bayar), berdepanlah dengan saya. Ini duit syarikat, ramai pekerja yang gaji mereka tidak dapat kami bayar gara-gara masalah ini. Ia tidak adil kepada usahawan kecil seperti kami,” kongsinya – UTUSAN