PUTRAJAYA: Santan merupakan antara 26 jenis barangan yang dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2025 berkuat kuasa 24 Mac hingga 7 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bagi memastikan barangan keperluan utama musim Aidilfitri itu tidak berlaku kenaikan mendadak, selepas isu kekurangan bekalan kelapa sejak akhir bulan lalu.
Di bawah skim itu, harga santan ditetapkan RM17.50 di Semenanjung, RM12 (Sabah), RM9 (Sarawak) dan RM15 di Labuan.
Katanya, selain santan, tiga lagi barangan baharu dikawal tahun ini termasuk bawang merah kecil India, bawang merah kecil ros dan lobak merah.
“Pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Armizan berkata, analisis yang dilakukan mendapati, harga beberapa barang yang dikawal memberi impak positif dalam aspek kos sara hidup kepada pengguna ketika berbelanja untuk menyambut Syawal kelak.
Katanya, penentuan harga dibuat setelah mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri.
“Harga maksimum peringkat pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan untuk skim kali ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Katanya, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.
“Semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan dikawal,” katanya. – UTUSAN