KOTA KINABALU: Agensi penguatkuasaan di negeri ini tidak lagi melaksanakan operasi menangkap golongan yang tidak berpuasa atau ‘geng plastik hitam’ selama lebih lima tahun.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi menangkap mereka yang tidak berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, kesedaran umat Islam dalam menghormati bulan Ramadan semakin baik, jadi agensi penguatkuasaan agama lebih fokus kepada program meningkatkan kesedaran masyarakat Islam agar menghormati bulan Ramadan.
“Kita bersyukur atas usaha dakwah, pendidikan berterusan yang dilakukan, umat Islam amat memahami dan kesedaran ini sangat tinggi sehingga kita tidak perlu lagi, tidak perlu untuk melaksanakan seperti sebelum ini penguatkuasaan
“Namun, setakat memasuki minggu pertama Ramadan, belum ada kes tangkapan umat Islam tidak berpuasa dilaporkan,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran Kampung Cempaka di Dewan Serbaguna Likas semalam.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Arifin yang juga Exco Pendidikan Negeri berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membantu menyediakan barang keperluan sekolah anak-anak mangsa kebakaran melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menurutnya, beliau akan mengarahkan ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan.
“Seperti biasa, kita mahu anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran hanya disebabkan kelengkapan sekolah musnah dalam kebakaran. Kita akan cuba membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas,” katanya. – UTUSAN