RUU Perkhidmatan Parlimen perkukuh prinsip pemisahan kuasa

RUU Perkhidmatan Parlimen perkukuh prinsip pemisahan kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan Perlembagaan Persekutuan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhid­matan Parlimen 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam menandakan satu reformasi sebenar dalam memperkasakan kebebasan, autonomi dan kebertanggungjawaban Parlimen sebagai institusi legislatif tertinggi negara.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club-BBC), Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen ini juga bukti nyata kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkukuh prinsip pemisahan kuasa, menyubur demokrasi serta memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik

“Kami memuji kepemimpinan serta komitmen Perdana Menteri dalam merealisasikan reformasi institusi yang menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Dengan pengembalian akta itu kata Ahli Parlimen Paya Besar itu, Parlimen akan berfungsi dengan lebih efektif dan bertanggungjawab.

“Parlimen akan mempunyai kuasa penuh untuk menggubal undang-undang, melaksanakan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan serta memastikan wacana yang bermakna demi kepentingan rakyat.

“Ini adalah kemenangan besar bagi demokrasi negara, dan kami menantikan pelaksanaannya yang efektif bagi meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti Parlimen demi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.

RUU itu meminda Perkara 56 dan Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Fasal ini menyatakan seseorang yang dipilih sebagai Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat tidak hilang kelayakan memegang jawatan kerana keahliannya dalam Maj­lis Perkhidmatan Parlimen, de­ngan syarat mereka tidak me­nerima sebarang saraan, hadiah, keuntungan atau faedah daripadanya.

Selain itu, pindaan ini juga meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, sama ada daripada kalangan anggota perkhidmatan awam atau bukan.

Kelulusan RUU ini membuka jalan bagi pengembalian dan penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, yang akan menjadikan Parlimen sebagai entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuh kebebasan dan fungsi Parlimen dalam sistem demokrasi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN