BESUT: Hanya berpandukan media sosial, seorang peniaga di Kuala Besut di sini, mencuba nasib menjual burung puyuh golek yang mendapat sambutan ketika Ramadan kali ini.
Nordin Hassan, 47, berkata, berbekalkan pengalaman kira-kira 15 tahun berniaga ayam golek, dia dan isterinya, Nor Arnida Abd. Rahim, 44, mencuba mengolah sendiri resipi burung puyuh golek.
“Tahun ini adalah pertama kali saya menjual puyuh golek setelah mendapati ia tiada dijual di daerah ini. Idea menjual juadah ini tercetus setelah melihatnya dijual di negara jiran melalui media sosial.
“Meskipun tidak pernah merasai sendiri hidangan itu yang dijual di negara jiran, saya dan isteri membuat sendiri ramuan perapan untuk juadah istimewa tersebut,” katanya ketika ditemui di Kuala Besut di sini.
Menurut Nordin, dia bersyukur juadah puyuh golek itu mendapatkan permintaan memberangsangkan sehingga mampu dijual kira-kira 80 ekor sehari.
Namun, katanya, dia turut berdepan kekangan mendapatkan bekalan burung puyuh dan terpaksa masuk ke ladang-ladang ternakan haiwan itu di sekitar Besut serta Kelantan bagi memenuhi permintaan pelanggan. –UTUSAN










