Pukulan beduk, azan rai nostalgia 100 tahun Kampung Jenjarom

Pukulan beduk, azan rai nostalgia 100 tahun Kampung Jenjarom

PUKULAN beduk di Masjid Kampung Jenjarom menandakan masuk waktu maghrib dan berbuka puasa pada Majlis Iftar Perdana Masjid Kampung Jenjarom sempena sambutan 100 tahun kampung itu, di Kuala Langat, Selangor, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pukulan beduk dan laungan azan di pekarangan masjid sebagai tanda masuk waktu maghrib dan berbuka puasa menjadi simbolik kepada pembukaan sambutan ulang tahun ke-100 Kampung Jenjarom, di sini, semalam.

Sebelum itu, acara tersebut turut dimeriahkan dengan agihan 400 bungkus nasi ambeng sebagai juadah berbuka puasa secara pandu lalu.

Menurut Nazir Masjid Kampung Jenjarom, Rafiee Hashim, sambutan ulang tahun ke-100 kampung berkenaan akan disambut pada tahun hadapan, namun dimulakan pada semalam bagi memeriahkan acaranya.

Beliau berkata, selain pengedaran makanan secara pandu lalu yang lazim dilakukan oleh masjid itu, pengurusannya turut menyerahkan sumbangan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang hadir.

“Kemudian, dianjurkan iftar perdana dengan kehadiran ribuan penduduk, malah jemaah juga berpeluang menyaksikan Forum Perdana Ehwal Islam dan mengunjungi karnival Islamik,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Iftar Perdana Masjid Kampung Jenjarom sempena sambutan 100 tahun kampung itu, semalam.

Kata Rafiee, pukulan beduk dan azan maghrib di luar masjid dilakukan untuk memperingati sejarah penubuhan kampung pada tahun 1926.

“Acara ini simbolik bagi menggamit nostalgia azan dan ketukan beduk pada tahun 1926. Kampung Jenjarom ketika itu penduduknya terdiri daripada orang Jawa dan Banjar, yang melakukan aktiviti pertanian seperti menanam nenas sebagai sumber rezeki.

“Kini kawasan ini semakin maju dan ramai penduduk bekerja di kilang-kilang berhampiran. Kini Kampung Jenjarom mempunyai kira-kira 10,000 penduduk di keseluruhan kawasan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN