GEORGE TOWN: Projek pertama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani di Pulau Pinang dijangka dilancarkan secara rasmi hujung April ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 38,000 unit akan dibina di Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun dan permohonan kebenaran merancang bagi projek tersebut telah dikemukakan akhir Januari lalu.
“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga telah meluluskan kebenaran merancang bagi projek ini dalam tempoh kurang 40 hari.
“Fasa pertama projek ini akan dibangunkan di Seberang Jaya manakala sebahagian besar fasa lain terletak di Bandar Cassia, Batu Kawan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata, unit-unit tersebut berharga antara RM225,000 hingga RM420,000 menyasarkan golongan graduan dan mereka yang bekerja dalam sektor perindustrian.
Katanya, sebahagian besar unit perumahan projek itu akan dibina menggunakan sistem bangunan berindustri modular (IBS).
“Sebuah kilang akan dibina bagi menghasilkan komponen untuk pembinaan modular IBS dan ia dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun untuk disiapkan,” katanya.
Menurut Kon Yeow, penyediaan unit perumahan itu akan menjadi insentif bagi tenaga kerja baharu untuk datang dan bekerja di negeri ini.
“Pulau Pinang menghadapi isu kekurangan tenaga kerja. Jadi, kita mahu menggalakkan lebih ramai orang dari luar untuk bekerja di sini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember lalu hadir menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan anak syarikatnya, PDC Properties dengan pemaju, SkyWorld Development Bhd. (SkyWorld).
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion itu disifatkan sebagai pembangunan rumah mampu milik terbesar dalam sejarah negara, melibatkan dua lokasi di Seberang Jaya dan Bandar Cassia, Batu Kawan. – UTUSAN