PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video yang dimuat naik di laman sosial Facebook oleh pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ yang didakwa menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Pahang, petang semalam.
“Polis telah menerima laporan berkaitan satu klip video berdurasi tiga minit 49 saat yang mengandungi kata-kata kesat dan penghinaan terhadap penganut Islam.
“Berdasarkan laporan, video tersebut telah dimuat naik pada 5 Mac lalu dan dipercayai telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.
“Polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
“Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan melalui isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum dan raja (3R), terutamanya dalam situasi semasa yang memperlihatkan peningkatan kes penghinaan terhadap agama Islam.
Razarudin menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam memainkan isu 3R.
“Video tersebut dikatakan mengandungi kata-kata kesat yang menghina penganut Islam ekoran isu melibatkan seorang penyampai radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu,” katanya.
Semakan awal mendapati pautan kepada video tersebut kini tidak lagi dapat diakses dan dipercayai telah dipadam oleh pemilik akaun.










