PETALING JAYA: Permohonan bagi Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (UP_TVET) Perdana Ambilan Julai 2025 akan dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun ini.
Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.
“Saya sentiasa mendukung aspirasi kerajaan untuk terus memperkasa TVET sebagai salah satu akses pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam ekonomi global.
“Saya justeru menyeru semua lapisan masyarakat agar memanfaatkan peluang ini dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas, tetapi juga membentuk tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan, terdapat 1,398 buah institusi TVET, terdiri daripada 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta, dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri ketika ini.
Tambahnya, ekosistem TVET yang luas dan dinamik menawarkan program kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa.
“Dalam era ekonomi digital dan perindustrian yang berkembang pesat, TVET menjadi tunjang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).
“Graduan TVET bukan sahaja mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpeluang menyumbang kepada inovasi dan kemajuan negara,” katanya. – UTUSAN