GUA MUSANG: Jalan masuk ke Kelantan melalui Gua Musang mengalami pertambahan kenderaan berikutan kepulangan anak Kelantan dip erantauan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak tengah hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bilangan kenderaan perantau semakin bertambah setiap jam memasuki negeri ini melalui pintu masuk Gua Musang.
Seorang perantau, Muhamad Azim Muhamad Shaari, 33, berkata, dia bertolak awal dari Kuala Lumpur untuk mengelak kesesakan lalu lintas ke Kota Bharu bagi menyambut Aidilfitri di kampung halaman isterinya.
“Perjalanan kami lancar walaupun terdapat banyak kenderaan terutama di kawasan Raub, Pahang. Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi dan tiba pada pukul 12 tengah hari tadi. Saya jangkakan lebih ramai yang akan bergerak pulang ke kampung halaman pada petang ini selepas waktu bekerja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi perantau, Shahida Shakeri, 40, memberitahu, dia mengambil cuti awal untuk pulang ke Kelantan kerana tidak mahu berdepan kesesakan lalu lintas.
“Saya mengambil masa lebih empat jam dari Kuala Lumpur untuk sampai ke Gua Musang. Kami sekeluarga ingin mengelak kesesakan lalu lintas kerana jangkaan kami esok mungkin sesak teruk lagi,” katanya. – UTUSAN