PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendakwa penjual belon yang terlibat dalam insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam semalam telah ditegur sebanyak tiga kali oleh anggota penguat kuasa sebelum tindakan diambil terhadapnya
Bagaimanapun, penjaja terbabit bertindak agresif dan menolak penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.
DBKL dalam kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.
“Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku.
“Selain itu, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi hampir seminit di laman sosial yang memaparkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL mengasari dengan menolak dan menjatuhkan seorang penjaja belon sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan berasaskan peraturan yang ditetapka bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan orang ramai, khususnya di kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman menjelang sambutan Aidilfitri. – UTUSAN










