SEREMBAN: Semua penjawat awam perlu melafazkan ikrar Rukun Negara sekurang-kurangnya sekali seminggu di semua premis kerajaan dan secara kerap dalam majlis-majlis rasmi bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.
Perkara itu merupakan antara kandungan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam.
Pekeliling oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 17 Mac 2025 yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah dilancarkan pada Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri Sembilan di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Selain itu, kandungannya menyatakan Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan secara berterusan tidak terhad hanya pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta lagu Negaraku dinyanyikan sekali seminggu pada majlis rasmi kerajaan bagi memupuk rasa bangga kepada negara.
Pekeliling itu turut menetapkan penjawat awam perlu dilatih untuk lebih memahami prinsip Rukun Negara bagi memastikan mereka menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan perlembagaan.
Bagi memartabatkan Bahasa Melayu, semua urusan rasmi dalam dan luar negara hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan.
Bagaimanapun, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam keadaan tertentu atas keperluan perundangan dan sebarang urusan yang boleh menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan. – UTUSAN










