Penjaja belon tolak penguat kuasa selepas tiga kali ditegur

Penjaja belon tolak penguat kuasa selepas tiga kali ditegur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa penjaja belon yang tular dalam insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam semalam telah diberi teguran sebanyak tiga kali sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadapnya

Bagaimanapun, penjaja terbabit bertindak agresif dan menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.

DBKL dalam kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku.

“Selain itu, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi hampir seminit di laman sosial yang memaparkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL menolak dan menjatuhkan seorang penjaja belon sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan terbabit.

Susulan itu banyak pihak memberikan reaksi termasuk menyifatkan kekerasan anggota penguat kuasa itu adalah tidak wajar.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.

Jelasnya, setiap tindakan diambil berasaskan peraturan yang ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan demi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan orang ramai, khususnya di kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman menjelang sambutan Aidilfitri.

“Sehubungan itu, DBKL memohon agar semua pihak menghentikan penyebaran spekulasi serta sentimen negatif yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN