KUALA KANGSAR: Setelah hampir 15 tahun membangunkan perniagaan emas di sini, pasangan dari kelantan, Zawawiy Md. Yusoff dan Norzila Ismail menggunakan kesempatan Ramadan ini untuk melakukan amal jariah.
Kedua-duanya yang berusia 43 tahun mahu menyantuni lebih ramai masyarakat di Kuala Kangsar terutama kelompok berpendapatan rendah seperti asnaf, ibu tunggal, warga emas, mualaf dan orang kurang upaya (OKU).
Norzila berkata, dia bersama suami mengambil keputusan untuk membantu golongan terbabit dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.
“Kedua-dua kami berasal dari Pasir Puteh. Sekian lama jatuh bangun berniaga di sini, kami mahu terus memberi sumbangan kepada penduduk tempatan.
“Saya ingin mengenali mereka. Kali pertama dilakukan dalam majlis sebesar ini. Diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak pada Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 140 penerima.
Kata Norzila, perniagaannya juga kerap menyampaikan sumbangan kepada orang susah secara kecil-kecilan pada bulan-bulan lain.
“Saya dan suami mahu menjadikan Kuala Kangsar sebagai tapak untuk mengembangkan perniagaan kerana kami menetap dan menyukai daerah ini,” katanya. – UTUSAN