Penduduk Ayer Kuning mahu infrastruktur asas ditambahbaik

Penduduk Ayer Kuning mahu infrastruktur asas ditambahbaik

SUASANA pekan kecil Ayer Kuning di Tapah. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Penduduk berharap wakil rakyat baharu yang terpilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menambah infrastruktur awam asas sedia ada demi keselamatan dan ke­selesaan penduduk.

Seorang suri rumah, Siti Salwa Harun, 34, berkata, beliau mahu wakil rakyat baharu dapat melihat lampu jalan dapat ditambah di sekitar kawasan itu kerana ada kawasan yang agak gelap dan berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

“Selain itu, banyak haiwan seperti lembu dan kerbau yang berkeliaran yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna,” kata anak jati Kampung Sungai Kurong Dalam di sini semalam.

Dia juga berharap bakal wakil rakyat mencontohi sikap Allahyarham Ishsam Shahruddin yang kerap turun padang menyelesaikan masalah penduduk terutamanya penurapan jalan raya baharu.

“Allahyarham mendengar keluhan rakyat dengan menurap jalan dari Mambang Diawan sehingga Tanjong Keramat untuk keselesaan penduduk.

Bagi seorang pekerja swasta, Noraini Mohd Zun, 33, berharap wakil rakyat baharu dapat meneruskan jasa wakil rakyat sebelum ini yang banyak menyalurkan sumbangan kepada masjid dan surau sekitar kawasan itu.

“Allahyarham telah menambah baik kemudahan tandas dan tempat mengambil wuduk untuk keselesaan kariah selain banyak menyumbang dana bagi aktiviti-aktiviti keagamaan. Masjid Jamek Sungai Lesong  kawasan tempat letak kenderaan agak terhad jadi saya harap wakil rakyat baharu dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Menurut Saril Nizam Nordan, 38, mahu lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di kawasan itu supaya dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Majoriti penduduk bekerja di ladang-ladang kelapa sawit, bekerja sendiri sebagai pekerja am dan agak kurang terlibat dalam sektor awam dan swasta.

“Besar harapan saya sekiranya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan supaya golongan muda tidak berhijrah ke bandar-bandar besar kerana kebanyakkan penduduk kampung telah berusia,” katanya. 

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian Ishsam pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi menentukan tarikh PRK.

Majoriti pengundi Ayer Kuning berdasarkan maklumat pada PRU15 lalu ialah kaum Melayu iaitu 55.97 peratus dengan jumlah pengundi seramai 31,940.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN