KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh antara enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di sebuah restoran, minggu lalu.
Bagaimanapun, pempengaruh, Ammar Mohd. Nazhan Noralyadi, 29, dan rakannya Muhammad Hafizul Haiman, 23, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Empat lagi individu, Abdul Rahim Abd. Hakim, 23, Muhammad Ady Putra Amirul Abdul Rahman, 18, Muhammad Al Mubarak Bahauddin Selamet, 28, dan Jebat Zulfar Nurfakhrullah Abd. Ghapar, 24, mengaku bersalah bagi pertuduhan serupa.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar pada pukul 10.15 malam, 25 Februari lalu di sebuah restoran dalam pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap Ammar dan Muhammad Hafizul.
Peguam bela, K. Ramalingam yang mewakili kedua-dua tertuduh itu merayu mahkamah mengenakan jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pencipta kandungan dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan turut menanggung keluarga.
Majistret Aina Azahra Arifin, kemudian membenarkan Ammar Mohd. Nazhan dan Muhammad Hafizul diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April ini.
Sementara itu, bagi empat lagi tertuduh, Abdul Rahim, Muhammad Ady Putra, Muhammad Al Mubarak dan Jebat Zulfar yang mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut dikenakan hukuman denda RM500 atau hukuman penjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda.
Pada 1 Mac lalu, media melaporkan polis menahan 11 individu yang disyaki terlibat dalam insiden rusuhan ketika satu perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial di sebuah pusat beli-belah, Bukit Bintang, 26 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 12.45 tengah malam melibatkan penyokong perlawanan tinju pempengaruh media sosial YouTube dan TikTok. – UTUSAN