Pembinaan LCS capai 72%

Pembinaan LCS capai 72%

MOHAMED Khaled Nordin (depan) ketika lawatan kerja di Limbungan LUNAS, Lumut, Perak. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan berpuas hati terhadap tahap kemajuan pembinaan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meskipun mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek itu amat penting kepada keselamatan negara selain melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar iaitu mencecah RM11 bilion.

Jelasnya, kemajuan keseluruhan kesemua lima buah LCS itu kini berada pada tahap 71.62 peratus berbanding jadual asal iaitu 73 peratus, dengan menyatakan kelewatan itu disebabkan isu bekalan oleh pengeluar peralatan tulen (OEM).

“Sebagai sebuah negara ma­ritim, kita sangat memerlukan kapal-kapal bagi TLDM terutama LCS,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini, semalam.

Projek LCS itu telah dirancang hampir sedekad lalu membabitkan perancangan awal sebanyak enam buah kapal yang kemudian diubah kepada lima.

Pembangunan kapal tempur itu bagaimanapun dibelenggu masalah kelewatan dan lebihan kos sehingga mencetuskan kebimbangan dan dakwaan masalah urus tadbir.

Tambah Mohamed Khaled, kehadirannya adalah untuk menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan projek itu dapat disempurnakan seperti mana dirancang.

“Kehadiran ini juga supaya masyarakat mendapat maklumat secara langsung daripada kementerian, daripada saya, berbanding dengar-dengar daripada orang lain yang membuat tuduhan dan andaian yang bukan-bukan,” katanya.

Katanya, LCS satu dan LCS dua dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026 dan April 2027, manakala LCS tiga akan diturunkan ke permukaan air pada Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN