KUALA LUMPUR: Menjelang perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, masyarakat mulai membanjiri beberapa pasar pagi di sekitar kawasan Kuala Lumpur semalam.
Menurut Mariam Zain, 70, yang merupakan salah seorang pembeli di Pasar Chow Kit, dia membuat keputusan untuk membeli barang basah untuk persiapan raya di pasar kerana lebih segar.
“Walaupun harga barang di pasar pagi mahal sikit tetapi berbaloi sebab semua segar. Ada juga beberapa barang yang murah seperti daging,” katanya.
Menurutnya lagi, persediaan barangan basah di pasar pagi lebih lengkap berbanding pasaraya biasa.
“Keluarga saya memang sudah biasa buat ketupat cara tradisional. Jadi, memang kena ke pasar pagi untuk cari daun palas sebab susah cari di pasar raya,” katanya.
Salah seorang pengunjung Pasar Chow Kit, Aza Jemima, 26, berkata, dia hanya membeli barang basah di pasar pagi ketika musim perayaan.
“Saya dan keluarga selalu beli barang di pasar raya berhampiran rumah. Cuma setiap kali mahu raya saja saya ke pasar pagi sebab membeli secara borong di sini boleh tawar-menawar,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga ayam segar, Sazali Abdul Latif, 63, berkata, permintaan ayam pada bulan Ramadan mendapat permintaan tinggi, terutamanya menjelang Aidilfitri.
Sepanjang Ramadan, lebih 400 ekor ayam mampu dijual dalam masa seminggu berbanding sebelum Ramadan, anggaran 200 ekor ayam sahaja mampu dijual dalam masa yang sama,” katanya.
Peniaga daging lembu Khairul Majid, 30, berkata orang ramai mulai memenuhi pasar dan memborong daging untuk dijadikan lauk di pagi raya.
Katanya, tempahan daging pada akhir-akhir ini meningkat di mana dalam seminggu, dia berjaya menjual lapan ekor daging lembu.
Walau bagaimana pun, Khairul turut berkongsi bahawa kuasa beli pengguna untuk membuat persiapan raya tahun ini agak kurang berbanding tahun lepas, lebih ramai.
Pasar pagi di sekitar Kuala Lumpur dijangka akan lebih sesak menjelang sehari sebelum perayaan. – UTUSAN