Operasi cari lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas diperluas - Utusan Malaysia

Operasi cari lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas diperluas

OPERASI pencarian lelaki Orang Asli yang dikhuatiri lemas memasuki hari ketiga di Sungai Perlus, Kampung Chenein, Lasah di Sungai Siput hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Perlus di Kampung Chenein, Lasah di sini, diperluaskan sehingga lima kilometer (KM).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi masuk hari ketiga itu dimulakan pada pukul 8 pagi membabitkan pasukan penyelamat yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Katanya, kaedah pencarian yang diguna pakai setakat ini adalah menggunakan teknik carian di permukaan di beberapa kawasan hot spot yang dikenal pasti.

“Kumpulan pertama terdiri daripada anggota bomba melakukan pencarian di kawasan kali terakhir mangsa dilihat manakala Unit Anjing Pengesan (K9) pula membuat carian di bahagian hilir sungai pada jarak dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

“Bagi pasukan ketiga terdiri daripada anggota Angkatan Pertananan Awan (APM) pula, operasi pencarian mangsa dilakukan sehingga tiga kilometer dari lokasi K9 beroperasi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dibantu tiga anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Ipoh dan lima anggota PPDA BBP Kuala Kangsar.

“Selain bantuan dari K9 bomba, operasi turut disertai pasukan polis dan APM menggunakan lima buah bot aluminium dan fiber,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli, Amran Ahin, 43, terjatuh ke dalam Sungai Pelus bersama anak lelaki berusia lapan tahun ketika sedang memasang pukat di sungai itu kelmarin.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa dihanyutkan arus deras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN