RAUB: Tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga nangka diambil demi keselamatan peniaga terbabit dan pengguna jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang) di daerah ini, di sini semalam.
Pegawai Daerah Raub, Datuk Khuzaidi Haron berkata, tindakan peniaga berkenaan menjalankan perniagaan di atas rizab jalan persekutuan itu boleh mengundang risiko kemalangan.
Katanya, laluan itu mempunyai had laju 90 kilometer sejam kecuali di kawasan kampung dan sekolah, sekali gus membahayakan keselamatan peniaga serta pengguna jalan raya lain.
“Peniaga meletak barangan jualan di tepi jalan dan pembeli pula terpaksa berhenti secara tiba-tiba di bahu jalan. Keadaan ini sangat berisiko dan pernah mengakibatkan kemalangan maut sebelum ini.
“Masyarakat setempat juga telah banyak kali membuat aduan kerana kehadiran peniaga-peniaga ini menghalang pandangan pemandu terutama di simpang masuk ke kampung,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas tentang tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, Khuzaidi berkata, operasi diberi nama Op Nangka itu sudah dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun lalu berikutan aduan orang ramai terhadap aktiviti perniagaan haram di sepanjang laluan berkenaan.
Kelmarin, tular satu rakaman video berdurasi 2 minit 21 saat memaparkan tindakan seorang peniaga memarahi anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi terbabit. – UTUSAN