PUTRAJAYA: Semua murid di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan akan mula memakai lencana Jalur Gemilang secara berperingkat mulai 21 April ini, dengan setiap orang menerima dua unit lencana secara percuma.
Inisiatif ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pemakaian lencana ini bertujuan memupuk rasa bangga terhadap negara serta melatih murid menghargai sejarah dan menghormati lambang kebangsaan.
Garis panduan pemakaian turut disediakan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 bagi memastikan keseragaman pelaksanaannya di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
Menurut Kementerian Pendidikan, inisiatif ini bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah untuk membentuk sikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam kalangan murid.
“Lencana ini bukan sekadar hiasan, tetapi simbol kebangsaan yang perlu dihormati. Ia juga dapat menyemai rasa cinta terhadap negara serta menyuburkan semangat patriotisme,” katanya semalam.
Selain itu, pemakaian lencana ini turut melambangkan perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum, budaya dan latar belakang di Malaysia.
“Sebagai negara berbilang bangsa, lencana ini menjadi pengingat kepada murid tentang kepentingan memupuk perpaduan yang dilambangkan melalui elemen-elemen dalam bendera, pada masa sama inisiatif ini dapat mencerminkan identiti kebangsaan serta mendidik tentang sikap bertanggungjawab dan berdisiplin,” katanya.
Kata Kementerian Pendidikan, ia satu cara yang mudah dan jelas bagi murid untuk menyatakan kesetiaan mereka kepada negara dan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya, seperti kemerdekaan, kedaulatan dan perpaduan.-UTUSAN










