KULAI: Meta Platforms Inc (Meta) selaku pemilik Facebook dilihat tidak serius untuk menangani isu scammer atau penipuan dalam talian yang berleluasa dalam platform media sosial itu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kemunculan scammer dalam Facebook semakin banyak, malah lebih rancak setelah membayar platform itu untuk boost (meningkatkan) hantaran mereka.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kecewa dengan Meta yang tidak memandang serius isu penipuan dalam talian
Bukan itu sahaja, katanya, scammer tersebut turut menggunakan wajah ahli politik, orang kenamaan, selebriti dan sebagainya bagi memperdayakan pengguna laman sosial berkenaan.
“Pihak kementerian berasa sangat tak gembira dengan Meta kerana kebanyakan kandungan adalah sponsored post (kandungan berbayar) maksudnya scammer bayar Meta untuk boost kandungan tersebut kepada pengguna lain khasnya mereka yang berada di Malaysia.
“Walaupun mereka akan padam akaun tersebut tetapi mereka nampaknya tidak ambil apa-apa langkah untuk hentikan scammer tersebut yang akan muncul semula,” katanya ketika ditemui selepas program Kesihatan Masa Depan Untuk Semua di Dewan Raya Putra Kulai, di sini semalam.
Nie Ching berkata, perkara itu menjadi cabaran sangat besar pihaknya yang menerima laporan berhubung akaun palsu yang diwujudkan dengan agenda tertentu.
Katanya, kerajaan mengambil serius mengenai kewujudan akaun media sosial palsu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Meta diminta untuk menurunkannya.
“Kita nampak bahawa trend ini sangat tak sihat kerana sekarang bukan sahaja Agong, malah melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din da buat pertemuan dengan META, jadi harap Meta buat saringan dengan lebih baik,” katanya.










