Matrade, Nazsoft Tech perkukuh akses pengeksport

Matrade, Nazsoft Tech perkukuh akses pengeksport ke pasaran antarabangsa

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd dan disokong oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia melancarkan Madani Digital Trade (MDT), sebuah platform maya bersepadu yang bertujuan memperkukuh akses pengeksport Malaysia ke pasaran antarabangsa.  

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MDT merupakan inisiatif transformasi yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang ke pasaran antarabangsa melalui penyelesaian digital.  

“Inisiatif ini sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang menekankan keselamatan ekonomi, keterangkuman, dan penerimaan teknologi.  

“PKS merangkumi 97 peratus daripada landskap perniagaan Malaysia, namun masih ketinggalan dalam penggunaan digital disebabkan kos tinggi dan literasi yang terhad. 

“MDT akan merapatkan jurang ini dengan menyediakan platform sehenti untuk promosi eksport, pemadanan perniagaan, dan pembangunan kapasiti,” katanya pada majlis pelancaran MDT, semalam.  

Beliau berkata, MDT mengintegrasikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya (big data) dan pengkomputeran awan untuk meningkatkan kecekapan perdagangan, di samping menawarkan latihan, perkhidmatan nasihat, dan mekanisme sokongan kewangan kepada PKS.  

“Inisiatif MDT bertujuan meletakkan PKS Malaysia dalam kedudukan lebih kompetitif di peringkat perdagangan serantau dan global, dengan tumpuan utama kepada ASEAN, China, dan India di bawah perjanjian perdagangan Malaysia.  

“Kerajaan juga meneroka peluang di pasaran baru muncul seperti Amerika Latin dan Afrika, di mana permintaan terhadap produk Malaysia semakin meningkat,” katanya.  

Menurutnya, perdagangan intra-ASEAN kini hanya berada pada tahap 23 peratus hingga 24 peratus, sekali gus membuka ruang besar bagi perniagaan Malaysia memanfaatkan pasaran serantau yang berpopulasi 680 juta orang.  

“MDT akan menjadi alat penting dalam memperkukuh kehadiran eksport Malaysia di pasaran berpotensi tinggi ini. 

“Bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, kerajaan berhasrat memperluaskan keupayaan MDT dengan mengintegrasikannya dengan platform e-dagang global, meningkatkan sistem pembayaran digital rentas sempadan, dan memperkukuh langkah keselamatan siber.  

“MDT juga akan diselaraskan dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijangka menyumbang sehingga AS$2 trilion (kira-kira RM8.87 trilion) kepada ekonomi serantau menjelang 2030.  

“Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberikan peluang untuk memperkukuh harmonisasi perdagangan digital, yang akan memberi manfaat langsung kepada PKS,” katanya.  

Katanya, MDT akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan eksport Malaysia, yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

“Dengan memperkemas proses eksport dan meningkatkan akses ke pasaran global, platform ini akan membantu PKS meningkatkan hasil dan daya saing mereka, sekali gus memperkukuh prestasi perdagangan negara.  

“Integrasi MDT dengan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan analitik data raya akan meningkatkan produktiviti, membolehkan perniagaan berkembang dengan lebih cekap.  

“Dengan kedudukan strategik Malaysia di ASEAN dan ekonomi digital yang semakin berkembang, MDT berpotensi mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab perdagangan serantau sambil memastikan kelestarian ekonomi jangka panjang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN