Masih ada peniaga guna beg, penyedut minuman plastik

Masih ada peniaga guna beg, penyedut minuman plastik

ARUL Kumar beramah mesra dengan peniaga bazar Ramadan pada Program MySaveFood dan Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran sempena bulan Ramadan di Nilai, Seremban semalam.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Masih terdapat dalam kalangan pemegang lesen perniagaan, termasuk peniaga pasar malam dan penjaja di negeri ini yang didapati menggunakan beg dan penyedut minuman plastik dan polisterina meskipun tempoh diberikan untuk tujuan peralihan sudah pun mencukupi.  

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, J.Arul Kumar berkata, kempen yang dilaksanakan sebelum ini oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan larangan tersebut adalah bertujuan untuk mendidik namun masih ada peniaga yang gagal mengikuti larangan ditetapkan. 

“Oleh demikian, PBT tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada pemilik yang ingkar arahan tersebut kerana pada tahun ini pengkuatkuasaan yang lebih tegas akan dikenakan. 

“Larangan itu telah pun ditambah dalam salah satu syarat perniagaan di setiap PBT tetapi penggunaan beg plastik itu tetap ada. 

“Saya meminta supaya peniaga dapat menggunakan beg biodegradasi sebagai alternatif menggantikan beg plastik sekali guna bagi menggalakkan usaha pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian  pada Program MySaveFood dan Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran sempena bulan Ramadan di Nilai di sini semalam. 

Sementara itu, dalam program berkenaan, Arul Kumar berkata, sistem pengurusan 

berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman di bazar Ramadan menjadi matlamat Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran. 

“Kempen anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di beberapa lokasi tumpuan itu diadakan memandangkan isu pembaziran makanan sering berlaku pada saban tahun.

“Berdasarkan data pengumpulan lebihan makanan pada tahun lalu, sebanyak 4,872.36 kilogram (kg) berjaya dikumpulkan. Ia mendapat sambutan yang baik daripada para peniaga di bazar di samping penganjur bazar turut membantu menyediakan tempat pengumpulan lebihan makanan.

“Jadi, lebihan makanan yang tidak terjual ini dihantar oleh para peniaga di lokasi pengumpulan dan akan diagihkan kepada para pelajar, rumah kebajikan dan golongan gelandangan dan usaha ini saban tahun dilaksanakan untuk tujuan tersebut,”katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN