Malaysia perlu lebih tegas bantu Palestin

Malaysia perlu lebih tegas bantu Palestin

MOHIDEEN Abdul Kader (empat dari kanan) bersama aktivis kemanusiaan yang menyokong perjuangan Palestin dalam sidang akhbar di Jalan Masjid Negeri, George Town, Pulau Pinang., semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Beberapa aktivis kemanusiaan dan pertubuhan hak asasi hari ini menyeru kerajaan Malaysia di bawah ke­pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil langkah lebih tegas dalam menyokong perjuangan Palestin.

Pengarah Citizens International, Mohideen Abdul Kader berkata, antara tindakan itu termasuk memutuskan hubu­ngan dengan entiti pro Israel, mengenakan sekatan terhadap syarikat yang berurusan dengan Israel serta menerajui inisiatif ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menangani serangan Zionis.

“Kita tidak boleh hanya me­ngutuk secara lisan. Jadi, Malaysia mesti menyatakan soko­ngan penuh kepada Palestin dan memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Al-Quds Sedunia 2025 di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Mohideen, Israel kini semakin berani melanggar gencatan senjata di Gaza dengan sokongan ketenteraan dan politik dari Amerika Syarikat (AS) sehingga menyebabkan ribuan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan darat.

“Serangan ke atas hospital, petugas kemanusiaan dan orang awam adalah jenayah perang tahap tertinggi. Namun, dunia terus berdiam diri sementara kuasa Barat pula membekalkan lebih banyak senjata kepada rejim Zionis,” ujar beliau.

Jelasnya, di Gaza, keadaan semakin kritikal apabila kepu­ngan Israel menghalang bekalan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan api, menyebabkan lebih 90 peratus penduduk kehila­ngan tempat tinggal dan menghadapi kebuluran.

“Ini adalah genosid yang berterusan. Tentera Israel me­nyasarkan wartawan, doktor, dan konvoi bantuan, melanggar undang-undang antarabangsa dengan kekebalan penuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan Mesir supaya membatalkan Perjanjian Damai Camp David dan membuka sempadan Rafah untuk bantuan kemanusiaan serta sokongan ketenteraan kepada Gaza.

“Mesir tidak boleh menjadi benteng Israel dalam mengepung Gaza, tetapi mesti berdiri bersama Palestin. Selain itu, negara-negara Arab turut diseru untuk menarik pelaburan mereka dari AS, yang secara langsung membiayai dan membekalkan senjata kepada Israel bagi meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN