GEORGE TOWN : Malaysia tidak boleh hanya sekadar menjadi pengguna teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu melangkah lebih jauh dengan membangunkan keupayaan AI sendiri sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai hab semikonduktor global.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, menjelaskan, ini kerana dalam usaha mempercepatkan transformasi digital negara, pembangunan ekosistem AI kukuh di peringkat domestik amat penting.
“Selain mengadaptasi teknologi AI sedia ada, Malaysia juga perlu melahirkan juara AI tempatan dalam sektor semikonduktor bagi memastikan daya saing yang berterusan di peringkat antarabangsa.
“Dengan industri semikonduktor yang semakin dipacu AI, langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk mengekalkan daya tarikan pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan platform Malaysia Semiconductor Industry Association AI Nexus (MAIN) yang turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai di sini, hari ini.
Menurut Gobind, semua pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan, dan pembuat dasar perlu bekerjasama secara aktif kerana sekarang adalah masa tepat untuk mereka menerajui inovasi berasaskan teknologi berkenaan.
“Kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi integrasi AI dalam industri semikonduktor. Namun kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak,” katanya.
Tambah Gobind, kerajaan juga sedang berusaha membantu pemain industri dalam perjalanan transformasi digital mereka.
“Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), yang berperanan sebagai pihak berkuasa pusat dalam memacu agenda AI Malaysia akan menyediakan sokongan, sumber dan panduan yang diperlukan bagi industri semikonduktor untuk memanfaatkan kuasa AI dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MAIN akan berfungsi sebagai platform kolaboratif untuk pengeluar semikonduktor, syarikat reka bentuk, dan pemain ekosistem bagi mengintegrasikan AI ke dalam operasi dan usaha penyelidikan mereka. – UTUSAN