Malaysia hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar dan Thailand

Malaysia hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar dan Thailand

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengatur gerak Pasukan Khas Bantuan dan Mencari dan Menyelamat Bencana Malaysia (SMART) ke Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda bahagian tengah negara itu serta utara Thailand, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia merakamkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap insiden tersebut serta menzahirkan komitmen penuh sebagai rakan solidariti dalam komuniti ASEAN.

Jelasnya, pasukan SMART dijadualkan tiba di Yangon hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terjejas.

“Gempa bumi yang berpusat di Myanmar bukan sahaja mengorbankan nyawa dan mencederakan ramai, malah turut menyebabkan kemusnahan besar terhadap bangunan serta infrastruktur awam. 

“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini, dan akan terus memainkan peranan aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di rantau ini.

Beliau berkata, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand sedang diselaraskan dan akan digerakkan dalam masa terdekat bagi membantu mangsa yang terkesan di negara itu.

“Kerajaan Malaysia, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri, kekal komited dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana.

“Ia termasuk penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN