‘Lemang tanpa musim’ Kijal jadi buruan

‘Lemang tanpa musim’ Kijal jadi buruan

PENIAGA membakar lemang di gerainya di Kijal, Kemaman, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Setiap kali menggunakan laluan antara Kerteh dan Chukai, orang ramai pasti dapat melihat deretan gerai berniaga lemang di Kijal, di sini yang di­usahakan secara turun-temurun sejak lebih 30 tahun lalu.

Dikenali sebagai Lembah Lemang Kijal, ia menjadi menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan makanan tradisional itu yang dijual tanpa mengira musim, apatah lagi ketika ketibaan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Meskipun harganya terpaksa dinaikkan berikutan kenaikan harga barangan mentah termasuk santan, Lemang Kijal yang menggunakan resipi rahsia warisan turun-temurun keluarga tetap mendapat permintaan tinggi, khususnya pada musim perayaan ini.

Tinjauan di deretan gerai jualan lemang itu mendapati, rata-rata lebih 15 peniaga tersenyum lebar apabila jualan mereka laris sejak hari pertama Ramadan.

Seorang peniaga, Azman Abdul Wahab, 49, berkata, jualan lemangnya meningkat lebih 200 batang sehari semasa Ramadan berbanding hanya 100 batang pada hari biasa.

“Biasanya kalau hari biasa, 100 batang lemang ambil masa hingga lewat petang baru habis dijual. Namun pada Ramadan ini tidak sampai lima jam lebih 200 batang lemang sudah licin dibeli pelanggan.

“Biasanya, saya membakar lemang bermula pukul 8.30 pagi yang mengambil masa dua jam, pukul 3 petang lemang sudah habis dijual pada Ramadan ini,” katanya semalam.

Azman yang sudah lebih 20 tahun berniaga berkata, kenaikan harga santan hingga mencecah RM14 sekilogram dan buluh hingga RM3.20 sebatang, menyebabkannya terpaksa menaikkan harga lemang bergantung kepada saiz buluh.

“Kalau sebelum ini, saya jual lemang pada harga RM10 untuk tiga batang, namun bermula Rama­dan ini saya menjualnya ber­mula harga RM4 untuk seba­tang hingga RM10 sebatang bergantung kepada saiz buluh,” katanya.

Azman berkata, selain mene­rima tempahan daripada pelanggan dari luar dan dalam ne­geri termasuk Kelantan, Pahang dan Selangor, dia turut menerima tempahan daripada syarikat minyak serta gas untuk dihantar ke pelantar minyak.

Seorang lagi peniaga, Nurul Nabilah Hashnan, 29, berkata, meskipun harga lemang terpaksa dinaikkan, ramai pelanggan yang menganggap harga tersebut masih berpatutan dan murah berbanding tempat lain.

“Kalau di tempat lain, mungkin ada sebatang lemang yang dijual RM15 sebatang. Namun di sini kami masih menjual lemang dengasn harga bermula RM4 atau RM5 sebatang bergantung pada saiz buluh,” katanya.

Menurutnya, lemang yang di­jual bersama ibu mentuanya, Atikah Saleh, 78, laris dijual menyebabkan mereka membuka gerai lebih awal berbanding hari biasa.

“Sebelum bulan puasa mungkin kami banyak ‘termenung’ menunggu pelanggan, namun bila tiba Ramadan hingga menjelang Syawal, kami tak menang tangan kerana pelanggan berpusu-pusu datang ke gerai kami.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN