Lelaki rakam anak tiri: Nancy gesa hukuman lebih berat

Lelaki rakam anak tiri: Nancy gesa hukuman lebih berat

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman RM6,000 yang dikenakan terhadap seorang lelaki merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video serta gambar bogel anak tirinya terlalu ringan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, lelaki tersebut perlu dikenakan hukuman yang lebih berat.

Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, katanya, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dapat merayu terhadap hukuman denda yang terlalu rendah itu.

“Pada pandangan saya, hukuman lebih berat wajar dikenakan ke atas perbuatan jijiknya itu. Seorang bapa tiri sepatutnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya, bukan sebaliknya. Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan terhadap kanak-kanak.

“Hal ini bukan sahaja untuk kita berikan keadilan kepada mangsa tetapi menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan seperti ini tidak akan diterima dalam apa jua keadaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mahkamah Sesyen Muar dilaporkan menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tirinya berumur 15 tahun.

Tertuduh berusia 56 tahun didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tirinya sedang mandi.

Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, IPD Muar antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN