KUALA TERENGGANU: Keputusan melarang semua aktiviti persembahan hiburan muzik jalanan di Terengganu berkuat kuasa semalam hingga 30 Mac ini bertujuan menghormati kemuliaan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya di seluruh Terengganu.
“Selain itu, surat makluman juga telah dihantar kepada semua penganjur bazar Ramadan, pesta moreh dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri. Semua pihak perlu mematuhi larangan tersebut serta-merta.
“Sebarang kegagalan pematuhan menyebabkan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) diambil terhadap pihak terlibat,” katanya hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengarahkan semua aktiviti persembahan muzik jalanan atau busking hanya boleh diadakan selepas solat sunat tarawih berakhir.
Lagu yang dipersembah pula mestilah mempunyai lirik yang berbentuk kerohanian dan ketuhanan dengan penampilan penyanyi lelaki sahaja. – UTUSAN