KLUANG: Kecuaian ketika memotong sebuah treler dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa 20 penumpang di Kilometer 61.9, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), dekat sini pagi tadi.
Dalam nahas itu, seramai 14 penumpang termasuk pemandu bas ekspres berkenaan mengalami kecederaan dengan empat daripada mereka tersepit di tempat duduk masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd. Azmi Hussin berkata, dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, kedua-dua kenderaan datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Ketika bas ekspres yang dipandu Mohamad Zaini Temizy, 44, ketika cuba memotong, bas berkenaan telah melanggar bahagian kanan treler sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian kiri bas dan belakang treler.
“Akibatnya, pemandu bas mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri dan sakit di bahagian perut selain 13 lagi penumpang turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurut Nik Mohd. Azmi, pemandu bas serta dua lagi penumpang berusia 23 dan 33 tahun dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
Seramai 11 lagi penumpang termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bagi menerima rawatan.
Pemandu treler tidak mengalami kecederaan.Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN