PETALING JAYA: Caj kesesakan sekiranya dilaksanakan kelak perlu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan ia dapat serentak dengan peningkatan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.
Pemerhati dan kumpulan pendesak dalam isu pengangkutan awam (Transit Malaysia) menerusi kenyataan berkata, langkah itu juga adalah bagi memastikan ketelusan dan cara untuk mendapat sokongan awam yang berterusan.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai yang menyatakan keperluan untuk menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam di Kuala Lumpur sebelum melaksanakan caj kesesakan.
“Tetapi, kami berpendapat bahawa pelaksanaan caj kesesakan boleh dijalankan serentak dengan usaha untuk menaiktaraf pengangkutan awam.
“Sebagai contoh, pelaksanaan caj kesesakan di Singapura, London, Stockholm, Paris dan New York, menunjukkan keberkesanan dalam pembangunan rangkaian pengangkutan awam dan infrastruktur first-last mile (perjalanan sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam),” katanya hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, mekanisme caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesibukan jalan raya sekitar 20 peratus di samping mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga kota.
Beliau berkata, namun kajian mekanisme itu masih di peringkat awal oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Transit Malaysia menambah, terdapat kepentingan untuk memastikan kawasan luar pusat bandar raya turut menikmati faedah dari pelaksanaan caj kesesakan.
“Pelaburan mestilah meningkatkan ketersambungan kawasan pinggir bandar raya, mempertingkatkan hubungan first-last mile dan menaik taraf perkhidmatan bas yang lebih cekap melalui lorong khas bas, dan infrastruktur pejalan kaki dan berbasikal yang lebih baik.
“Mengambil contoh dari luar negara, Transit Malaysia menggalakkan penerokaan mekanisme pembiayaan tambahan, seperti meningkatkan caj ke atas tempat letak kereta komersial atau tol di lebuh raya dalam bandar. Langkah-langkah ini telah terbukti berkesan dalam membiayai rangkaian pengangkutan awam yang teguh,” katanya.
Sementara itu, kumpulan berkenaan turut mencadangkan supaya caj berkenaan selepas ini dinamakan caj sebagai Caj Nyah Kesesakan.
“Caj dapat menangani ketidaksamaan dalam pembiayaan infrastruktur yang kini memberi kepentingan kepada penggunaan kenderaan persendirian dengan mengorbankan pembangunan berasaskan pengangkutan awam.
“Pelaksanaan caj ini merupakan penyelesaian yang saksama boleh dicapai untuk menjana dana bagi menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas, dengan memperkasakan penguatkuasaan lorong bas dan meluaskan infrastruktur pejalan kaki dan basikal di seluruh bandar secara langsung. – UTUSAN