Lagi foto mesra didedahkan, ibu mahu Kim Soo Hyun minta maaf - Utusan Malaysia

Lagi foto mesra didedahkan, ibu mahu Kim Soo Hyun minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Kontroversi membabitkan pelakon papan atas Korea Selatan, Kim Soo Hyun tiada tanda-tanda akan surut apabila ibu kepada mendiang Kim Sae Ron meminta pelakon itu mengakui kesilapan pernah bercinta dengan anaknya yang bawah umur.

Permintaan itu diajukan ibu mendiang yang tidak didedahkan namanya menerusi sebuah sesi siaran langsung YouTube Garo Sero Research Institute, semalam.

Jelas wanita itu, Soo Hyun didesak untuk tampil meminta maaf dan mengakui pernah bercinta dengan anaknya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Bukan itu sahaja, agensi bakat milik pelakon itu, Gold Medalist juga ditagih memohon maaf kerana pernah mengeluarkan kenyataan media menafikan kononnya mereka pernah mempunyai hubungan istimewa. 

Memandangkan anaknya, Kim Sae Ron merupakan artis terawal membantu penubuhan syarikat, ibu meminta Gold Medalist untuk mengakui sumbangan puterinya.

Tambahnya, dia terpaksa mendedahkan foto mesra mendiang anaknya dan Soo Hyun untuk menunjukkan bukti bahawa puterinya tidak berbohong selama ini selain menyelar fitnah seorang wartawan Korea Selatan, Lee Jin Ho.

Justeru itu, agensi bakat Gold Medalist dalam satu kenyataan meminta untuk bertemu ibu mendiang Kim Sae Ron dalam sebuah pertemuan tertutup kerana enggan lagi memanjangkan perkara ini kepada khalayak.

Pihak agensi meminta wanita tersebut menghubungi mereka pada bila-bila masa. 

Kim Soo Hyun menjadi sorotan apabila Kim Sae Ron bertindak bunuh diri pada hari ulang tahun kelahiran pelakon itu.

Tidak lama selepas itu, Garo Sero Research Institute mendakwa bahawa mereka berdua pernah bercinta selama enam tahun sejak gadis itu berusia 15 tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN