TAPAH: Kontrak Datuk Rumaizi Baharin sebagai Datuk Bandar Ipoh berakhir esok kerana telah melebihi tempoh selama lima tahun yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) .
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penjawat awam iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) boleh dipinjamkan untuk tempoh maksimum lima tahun sahaja.
“Penjawat awam PTD ini boleh dipinjamkan untuk lima tahun maksimum (secara kontrak) 2 tahun + 2 tahun + 1 tahun (5 tahun).
“Walaupun kita dah hantar cadangan kepada JPA untuk disambung (JPA) tidak setuju. Jadi kita tunggu orang baharu yang akan dihantar,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2025 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri telah menamakan beberapa nama calon Datuk Bandar Ipoh.
“Kita cadangkan nama pengganti sebab ada proses yang perlu dilalui. Ada juga nama daripada JPA sendiri,” katanya.
Rumaizi merupakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 1 April 2020. – UTUSAN