KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga di sini menjual ayam panggang pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran iaitu hanya RM18 seekor untuk berkongsi rezeki sepanjang Ramadan ini.
Saidatul Fatihah Muhammad, 33, berkata, setiap hari dia menyediakan antara 300 hingga 400 ekor ayam di kedai makan miliknya yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin.
Katanya, pada hari cuti umum pula, jualan ayam panggang itu mencecah hingga 600 ekor berikutan permintaan luar biasa daripada pelanggan tetapnya.
“Memang ramai yang kata ini adalah harga yang paling murah memandangkan seekor ayam panggang di tempat lain dijual antara RM25 hingga RM28. Alhamdulillah, masih ada sedikit keuntungan untuk saya dan sembilan pekerja,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdapat tiga perisa ayam panggang dijual di kedai makan tersebut iaitu perisa madu, sate dan asli hasil perapan rempah resipinya sendiri.
Saidatul Fatihah berkata, semua ayam tersebut diperap pada pukul 10 malam selama 13 jam dan dipanggang bermula pukul 1 petang setiap hari. – UTUSAN











