Kompleks sukan 'berwajah' baharu selepas tiga dekad

Kompleks sukan ‘berwajah’ baharu selepas tiga dekad

CHOW Kon Yeow (enam dari kiri) pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Selepas lebih 30 tahun dibuka kepada orang ramai, Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya di sini dijangka tampil ‘berwajah’ baharu mulai tahun depan.

Ia susulan cadangan pembinaan beberapa fasiliti atau kemudahan sukan bertaraf antarabangsa yang dianggarkan bernilai RM12 juta di situ.

Antara kemudahan itu termasuk sebuah padang bola sepak jenis rumput tiruan yang dilengkapi lampu beserta 200 tempat duduk dan lima gelanggang futsal serbaguna termasuk satu gelanggang yang memenuhi standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kemudahan lain ialah 12 gelanggang badminton serbaguna, lima gelanggang ‘pickle ball’, kemudahan bilik persalinan, gimnasium, surau, tandas, bilik mesyuarat dan sebagainya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja membina, menaik taraf, mengurus serta menyelenggara kompleks itu akan dijalankan oleh syarikat yang baharu dilantik iaitu Sportizza Sdn. Bhd. bagi tempoh 30 tahun.

“Usaha ini bertepatan dengan Tema A yang termaktub dalam Visi Penang 2030 iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kehidupan’ khususnya di bawah inisiatif strategik bagi mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, seni dan budaya.

“Selain itu, saya juga percaya, dengan usaha sama daripada pihak kerajaan dan swasta, projek seperti ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat setempat sekaligus memantapkan pembangunan sukan dan atlet untuk jangka masa panjang,” katanya.

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Ze Sen serta beberapa kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang serta tempat letak kereta yang terletak dalam kawasan kompleks tersebut bagaimanapun akan terus dikekalkan buat masa ini.

“Dengan siapnya kompleks ini nanti, kita berharap komuniti di Seberang Jaya khususnya dan Seberang Perai amnya akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan,” katanya yang juga mahu program-program latihan sukan dan sebagainya diperbanyakkan di situ pada masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN