Kerja penyelenggaran libat tutup jalan dihentikan sementara bermula 24 Mac

Kerja penyelenggaran libat tutup jalan dihentikan sementara bermula 24 Mac

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Lorong Tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah di Seksyen 8.50, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang melibatkan penutupan lorong akan dihentikan sementara bermula Isnin depan sehingga 7 April ini sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, larangan penutupan lorong tersebut dikecualikan bagi kerja-kerja yang melibatkan kes mendesak dan kecemasan sahaja.

“Keputusan penetapan tarikh baru dilaksanakan selaras dengan tarikh penguatkuasaan operasi oleh semua agensi-agensi penguatkuasaan seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Ini biasa kami arahkan pada musim perayaan dan begitu juga sempena Aidilfitri yang bakal tiba di mana tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan dibuat bagi mengelakkan berlakunya kesesakan luar biasa. 

“Cuma kalau ada kerja kecemasan mendesak, kita akan benarkan dan sekiranya tiada keperluan yang lain akan tutup,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Lorong Tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah di Seksyen 8.50 di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai projek menaik taraf lorong tambahan berkenaan, Alexander berkata, pihaknya berbesar hati dapat melaksanakan satu lagi projek infrastruktur yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia juga dapat disiapkan sebelum Aidilfitri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah merupakan laluan utama yang sibuk dan menghubungkan bahagian barat dan timur Negeri Sembilan. 

“Laluan ini juga sering digunakan oleh pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur, dengan jumlah pengguna jalan raya yang tinggi, jalan ini sering mengalami masalah kesesakan terutamanya di kawasan bottle neck  selain menghadapi isu keselamatan jalan dan kejadian banjir kilat yang berlaku disebabkan masalah perparitan yang tidak sempurna.

“Saya yakin dengan siapnya projek ini, ia akan dapat menyelesaikan beberapa masalah trafik yang selama ini dihadapi oleh lebih dari 30,000 pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini saban hari,” katanya. 

Projek pelebaran lorong berkenaan telah dimulakan pada 20 Disember 2021 membabitkan perbelanjaan sebanyak RM18.167 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN