GUA MUSANG: Permintaan tinggi terhadap kerabu suhun kaca atau kerabu senkel yang merupakan makanan berasal dari Thailand membuatkan seorang ibu tunggal tidak menang tangan menyediakan hidangan tersebut pada Ramadan ini.
Mayaning Usoh, 38, berkata, situasi itu membuatkannya perlu berulang-alik ke Narathiwat, Thailand bagi mendapatkan suhun kaca yang merupakan bahan atas utama kerana ia tidak dijual di negara ini.
Katanya, kerabu yang mempunyai gabungan rasa masam, manis dan pedas sesuai dimakan ketika berbuka puasa dan moreh.
“Suhun kaca kelihatan sama seperti suhun biasa, namun saiznya lebih tebal dan memiliki tekstur yang rangup. Setiap minggu kira-kira tujuh kilogram kerabu senkel dijual kepada pelanggan.
“Kerabu ini mendapat permintaan menggalakkan di bulan Ramadan kerana tidak ramai pengusaha yang menjualnya,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini semalam.
Mayaning berkata, kerabu tersebut turut dicampur dengan sayur dan lauk seperti udang, sotong dan kerang untuk menjadikan hidangan itu lebih enak serta sedap. – UTUSAN











