Kenakan caj berbeza untuk warga asing

Kenakan caj berbeza untuk warga asing

CAJ konsultasi berbeza wajar dipertimbangkan namun ia perlu dilaksanakan dengan mekanisme yang jelas supaya tidak membebankan sektor kesihatan secara keseluruhan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan diminta mempertimbangkan untuk memperkenalkan caj konsultasi berbeza bagi warganegara dan warga asing dalam semakan caj konsultasi yang sedang dilaksanakannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, caj konsultasi berbeza wajar dipertimbangkan namun ia perlu dilaksanakan dengan mekanisme yang jelas supaya tidak membebankan sektor kesihatan secara keseluruhan.

Katanya, memandangkan lebih 2.4 juta warga asing bekerja di Malaysia, caj yang lebih tinggi bagi mereka boleh membantu menampung kos operasi klinik swasta tanpa membebankan rakyat tempatan. 

“Namun, Kementerian Kesihatan harus memastikan kadar ini tidak terlalu tinggi sehingga menggalakkan pekerja asing mengelak daripada mendapatkan rawatan kesihatan, yang boleh membawa risiko kesihatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung laporan muka depan akhbar ini bahawa kerajaan sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.

Semakan caj konsultasi yang terakhir pada tahun 2006 itu dijangka memberi kesan positif kepada kira-kira 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat September 2023.

Saravanan berkata, pihaknya memahami keperluan untuk menyemak semula caj konsultasi klinik swasta memandangkan kadar tersebut tidak dinaikkan sejak 32 tahun, namun perlu dilakukan secara berhemah agar tidak membebankan rakyat.

“Kenaikan mendadak boleh menyebabkan lebih ramai rakyat terutama golongan B40 dan M40, menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan asas di klinik swasta. 

“Ini juga memberi tekanan kepada klinik kerajaan yang sudah sedia padat dengan pesakit. Oleh itu, sebarang kenaikan haruslah dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira kemampuan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan agar Kementerian Kesihatan harus meminimakan kenaikan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan asas kekal mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat. 

Saravanan turut mencadangkan supaya beberapa langkah diambil bagi mengimbangi kenaikan caj konsultasi agar ia tidak membebankan pengguna antaranya kenaikan berperingkat dan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tertentu.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan boleh bekerjasama dengan klinik swasta untuk menawarkan konsultasi pada kadar lebih rendah kepada golongan berpendapatan rendah melalui insentif atau skim subsidi.

“Malah perlu dipastikan tiada eksploitasi oleh pihak klinik swasta dengan menetapkan garis panduan jelas mengenai kadar caj konsultasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN