MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) memberi tumpuan kepada 652 titik panas kebakaran di seluruh negara bagi hadapi musim kemarau tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ts. Nor Hisham Mohamad berkata, lokasi tumpuan berkenaan melibatkan 413 kawasan belukar dan ladang, 142 pinggir pinggir hutan manakala selebihnya adalah tapak pelupusan sampah dan lain-lain.
“Berdasarkan ramalan cuaca tiga bulan akan datang, musim panas berpanjangan atau hari tanpa hujan tidak ketara situasinya berbanding tahun lepas. Tiada fenomena El-Nino diramal seperti yang berlaku tahun 2024 serta 2021.
“Bagaimanapun, pasukan bomba tetap memberi penumpuan di titik panas yang dikenal pasti dan kita cerap berdasarkan tiga tahun kebelakangan ini.
“Berdasarkan statik tahun lepas, sebanyak 16,700 kes kebakaran terbuka direkodkan. Lonjakan ketara berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira 5,600 kes,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Tamat Latihan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1 Tahun 2024 dan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 2 Tahun 2024, di sini hari ini.
Majlis yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur itu melibatkan seramai 30 pelatih DLSK serta 207 orang pelatih bagi KSSK.
Mengulas perkembangan kebakaran hutan gambut di dua lokasi di Pekan, Pahang sejak 3 Mac lalu, Nor Hisham berkata, keadaan terkawal.
“Satu sektor lokasi kebakaran telah dipadamkan dan satu lagi operasi masih dijalankan. Bomba telah berjaya menghalang api daripada marak ke kawasan hutan simpan.
“Kita juga berjumpa dengan pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pemimpin setempat, pejabat hutan dan polis bagi selaraskan serta membantu pemadaman.
“Kebakaran berpunca daripada perbuatan manusia, ada aktiviti tidak sihat berlaku di kawasan itu yang memulakan pembakaran sehingga ia merebak,” katanya. – UTUSAN