Keluang Man pujuk Krisya pulang ke tanah air - Utusan Malaysia

Keluang Man pujuk Krisya pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPULANGAN penyanyi, Krisya, 43, ke tanah air sejak Julai tahun lalu pastinya mengubat kerinduan peminat.

Mana tidaknya, selepas mengumumkan persaraan daripada dunia nyanyian sekitar 20 tahun lalu, penyanyi berusia 43 tahun ini terus menghilang dari radar dunia seni.

Sehinggalah baru-baru ini pemilik nama sebenar, Krisya Norsabrina Roslan ini terbuka hati menerima tawaran untuk menyanyikan semula runut bunyi filem Keluang Man yang bakal menjengah pawagam Mei ini.

Pada Krisya, lagu tersebut adalah rezeki kurniaan Allah yang telah akan akan terus memahat namanya dalam ingatan peminat.

“Lagu Keluang Man ini dikatakan pembuka rezeki kerana saya bermula dengannya pada tahun 1998. Dan tak sangka selepas 27 tahun, saya kembali memakamkannya namun kali ini untuk filemnya pula.

“Saya gembira dengan penerimaan peminat. Mungkin mereka teruja kerana terkejut dan tak sangka saya menyanyi semula.

“Apa pun saya terharu dan gembira kerana ‘kepulangan’ saya bukan sahaja ke tanah air, malah dunia seni tempatan, diterima baik peminat,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Astro Shaw baru-baru ini.

Kata ibu empat cahaya mata ini, kepulangan dalam dunia seni tanah air ibarat kelahiran semula sebagai penyanyi.

Katanya, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk merakamkan lagu baharu atau membuat persembahan demi peminat.

“Kedatangan semula ini ibarat satu permulaan untuk saya. Jadi saya tidak mahu tergesa-gesa dalam mencatur semula karier nyanyian saya.

“Dunia hiburan kita juga sudah banyak berubah. Perbezaannya ketara berbanding zaman saya dahulu. Banyak perkara yang perlu saya pelajari.

“Kalau ada tawaran, sama ada merakamkan lagu baharu, atau rakam semula lagu nyanyian saya iaitu Gemersik, saya akan pertimbangkan, Insha-Allah. Asalkan konsepnya bersesuaian,” katanya.

AIDILFITRI TANPA SUAMI, ANAK SULUNG
Kembalinya penyanyi asal Petaling Jaya Selangor ini ke tanah air hanyalah bertemankan tiga cahaya mata, tanpa suami, Semko dan anak sulung di sisinya.

Dia reda kerana terpaksa berjauhan dengan suami yang perlu sementara waktu menetap di Bosnia bagi menemani anak sulungnya yang masih bersekolah di sana.

Dan untuk pertama kali, sambutan Hari Raya Aidilfitri penyanyi ini suram tanpa kehadiran suami dan anak sulung tersayang.

“Berjauhan dengan suami dan anak ini adalah untuk sementara sahaja. Insya-Allah mereka akan menyusul pulang ke Malaysia selepas pengajian anak sulung saya selesai nanti.

“Sebagai isteri dan ibu, memang saya rindukan mereka. Namun kami selalu berhubung, jadi kerinduan itu sedikit sebanyak terubat,” kongsinya.

Kata Krisya, dia tidak dapat menyembunyikan keterujaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia dan sekali lagi menikmati kemeriahan sambutannya di tanah kelahiran sendiri.

“Saya tidak nafikan di Malaysia kemeriahan itu lebih terasa. Kalau di sana sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya berpanjangan selama tiga hari, di sini kita menyambutnya selama sebulan.

“Saya tidak sabar untuk bertemu keluarga, sanak saudara dan sahabat di Pulau Pinang sempena Hari Raya Aidilfitri ini. Itu perkara yang paling saya rindukan sepanjang tujuh tahun menetap di Bosnia,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya