Kedah larang peniaga dikompaun berulang sertai bazar Ramadan

Kedah larang peniaga dikompaun berulang sertai bazar Ramadan

MANSOR Zakaria (kanan) membuat tinjauan bersama Jabatan Kesihatan negeri di Bazar Ramadan Taman Sri Aman, Jitra di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Mana-mana peniaga yang menerima kompaun berulang kali akibat melanggar peraturan ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri akan dilarang menyertai bazar Ramadan di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan memandang serius tentang kebersihan dan kesihatan makanan di bazar demi kepentingan awam. 

“Sekiranya kita melihat ada peniaga yang mengumpul kompaun tahun ini dan mengulangi perkara yang sama tahun depan, kita mungkin perlu menghalang mereka daripada berniaga. Kita mahu peniaga yang boleh mematuhi piawaian kesihatan dan kebersihan,” katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Taman Sri Aman di Jitra di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, pematuhan peraturan kesihatan dan kebersihan bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai malah peniaga itu sendiri.   

Katanya, setakat ini Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan sebanyak 113 kompaun kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri kerana pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan kesihatan dan kebersihan. 

Ujar beliau, penguatkuasaan dilakukan ekoran pemeriksaan terhadap 3,269 lot bazar dan 5,808 pengendali makanan di 87 bazar Ramadan sepanjang dua minggu Ramadan ini.  

“Kesalahan paling tinggi tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan latihan pengendali makanan iaitu 52 kompaun dan 34 kompaun tidak mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan yang betul,” katanya.

Mansor berkata, daripada 5,808 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negeri, 5,478 menerima suntikan anti tifoid, manakala 4,922 mengikuti kursus pengendalian makanan. 

Dalam pada itu, kerajaan negeri kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata ketika berbuka puasa di Dataran Medan Bandar dan pekarangan Masjid Zahir di Alor Setar.

“Saya tahu ada tong sampah disediakan di kawasan itu tetapi kecil berbanding mereka yang ramai berbuka puasa di dataran itu. Jadi lebih bagus bawa balik sampah itu. Bukan banyak sangat. Janganlah berharap kepada pihak lain seperti E-Idaman untuk membersihkan sampah yang dibuang merata-rata,” ujarnya.

Tambahnya, kebenaran bagi orang ramai untuk berbuka puasa di kawasan itu adalah sebagai mengimarahkan Ramadan selain merancakkan program Tahun Melawat Kedah 2025 dan kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk melihat penyelesaian terhadap isu itu. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN