JOHOR BAHRU: Keluarga Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengetepikan hukuman mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas mangsa.
Bapa arwah, Zulkarnain Idrus, 62, mengakui tidak terkejut dengan keputusan itu kerana telah membuat persediaan dengan meneliti beberapa keputusan mahkamah terdahulu yang melibatkan kes pembunuhan termasuk kes jutawan kosmetik, Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Saya sudah bersedia lebih awal dengan melakukan rujukan kes-kes berprofil tinggi dan tertuduh bagi kes tersebut yang terlepas hukuman mati, ditukar dengan hukuman penjara.
“Kami sekeluarga reda dan terima apa yang diputuskan oleh mahkamah. Saya ingin berterima kasih kepada pasukan pendakwa raya yang banyak bertungkus-lumus mengendalikan kes anak saya ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Namun, dia berharap keenam-enam pesalah itu insaf dan bertaubat kerana masih diberi peluang kedua untuk hidup.
“Semua ibu bapa tidak mahu kehilangan anak di atas tangan orang yang tidak bertanggungjawab dan orang tua mana mahu anak-anak berbuat jahat.
“Jadi, kepada mereka, gunalah peluang ini untuk menjadi lebih baik. Kita sendiri yang mencorakkan kehidupan, mahu hitam atau pun putih,” katanya.
Isterinya, Hawa Osman, 62, berharap kejadian yang menimpa anak sulung mereka dapat menjadi iktibar kepada semua masyarakat.
“Di dunia pelaku boleh terlepas, di akhirat nanti mereka perlu menjawab di hadapan Allah,” katanya. – UTUSAN










