ROMPIN: Enam lokasi Bazar Ramadan Rahmah beroperasi di negeri ini menawarkan juadah seperti nasi berlauk dan nasi beriani berharga RM5 bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Lokasi berkenaan ialah di Bazar Ramadan Muadzam Shah; Bazar Ramadan Mahkota Square di Kuantan; Bazar Ramadan bandar Jerantut; Bazar Ramadan Taman Temerloh Jaya (Temerloh); Bazar Ramadan Dataran Kerayong di Bera dan Bazar Ramadan Bandar Raub di Raub.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, setakat ini kira-kira 100 peniaga di enam lokasi terbabit menyertai program Bazar Ramadan Rahmah tersebut.
“Program ini bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, bagi pilihan hidangan berbuka puasa pada harga berpatutan iaitu penjualan Menu Rahmah yang dijual pada harga RM5 ke bawah.
“Program ini terbuka kepada semua peniaga dan kita berharap dengan inisiatif diberikan lebih ramai lagi peniaga akan menyertai program ini,” katanya ketika ditemui di Muadzam Shah, di sini semalam.
Razali berkata, tinjauan pada hari pertama pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah menyaksikan ia mendapat sambutan baik dan pihaknya menjangka ada pertambahan peniaga menyertai program tersebut.
Beliau berkata, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah menerima RM100 dalam bentuk e-wallet sebagai galakan.
Mengulas isu makanan basi yang tular dalam media sosial beliau berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Pahang belum menerima apa-apa aduan tentang kejadian tersebut.
“Jika terdapat aduan makanan basi, kotor atau sebagainya boleh membuat aduan di Jabatan Kesihatan berhampiran dan pengguna boleh WhatsApp aduan secara terus di talian 012-8484378. Aduan akan sampai ke ibu pejabat dan dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Aduan (SISPA) bagi tindakan lanjut,” ujarnya.










