ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan sawah padi baharu seluas 80 hektar pada tahun ini dan tahun depan sebagai usaha menangani isu kekurangan bekalan komoditi tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan RM2 juta akan digunakan untuk melaksanakan program itu yang melibatkan kawasan seluas 30 hektar di Kahang, Kluang serta 50 hektar di Sungai Balang, Muar.
“Kawasan 30 hektar di Kahang mampu mengeluarkan hasil sehingga 80 tan padi semusim, manakala dengan pertambahan 50 hektar lagi di Sungai Balang, ia akan menjadikan keseluruhan kawasan sawah padi aktif di Johor sebanyak 1,693 hektar dengan sasaran tambahan 240 tan semusim.
“Hasil keluaran padi menerusi inisiatif ini bakal digunakan untuk pasaran domestik terlebih dahulu bagi menangani isu kekurangan bekalan makanan tersebut,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Proposal Jelajah Orang Johor@DUN Parit Raja di Kota Iskandar, di sini.
Zahari berkata, walaupun sawah padi di negeri ini merupakan kawasan di luar inisiatif Jelapang Padi Negara, namun kerajaan negeri menyokong agenda meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.
“Johor sasarkan produktiti pengeluaran padi per hektar melebihi sasaran purata nasional dan pembukaan kawasan tanaman padi baharu juga akan diteruskan sekiranya terdapat keperluan pada masa depan. Diharap usaha ini dapat tingkatkan pengeluaran dan menyumbang terhadap peningkatan pengeluaran padi negara, sekali gus mengurangkan isu kekurangan bekalan makanan ruji rakyat,” katanya.
Mengulas Jelajah Orang Johor, program itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat bertemu dengan kepimpinan negeri secara bersemuka.
“Jika sebelum ini selalu dengar orang kata susah mahu jumpa Menteri Besar, barisan Exco atau wakil agensi kerajaan, namun menerusi program ini, orang ramai berpeluang bertemu sendiri.
“Program di DUN Parit Raja pada April depan merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama di Pontian, bulan lalu,” katanya sambil memberitahu, kerajaan negeri berhasrat mengadakan program itu di semua 56 kawasan DUN. – UTUSAN