PETALING JAYA: Isu kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India akhirnya mencapai penyelesaian apabila pihak pengurusan kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak baharu yang terletak hanya 50 meter dari lokasi asal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Hasil rundingan dengan pelbagai pihak, termasuk pihak kuil, kerajaan telah mengenal pasti satu tapak baharu berhampiran tapak asal bagi tujuan penempatan semula,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL.
Zaliha berkata, tapak baharu tersebut berkeluasan 4,000 kaki persegi, setara dengan keluasan kuil sedia ada dan merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan merobohkan struktur kuil sedia ada sebelum proses pemindahan selesai.
“Kuil akan terus dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam suasana harmoni sehingga proses penempatan semula diselesaikan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa,” katanya.
pada masa sama, kerajaan menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain.
“Setiap isu membabitkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.-UTUSAN










