TAPAH: Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kepada seorang ibu tunggal, Normarziana Abd. Manap apabila dia berupaya membeli baju raya baharu untuk dirinya dan enam anak, hasil sumbangan baucar tunai oleh kerajaan negeri.
Katanya, tahun lalu, dia dan anak-anak hanya memakai baju raya tahun sebelumnya kerana kekangan kewangan.
“Tahun lepas, saya dan enam anak tidak dapat beli baju raya kerana kekangan kewangan. Saya hanya kerja sendiri jual kuih dengan pendapatan tidak seberapa.
“Hendak dapat RM1,500 sebulan pun payah dan kadang-kadang belanja bulan pun tidak lepas. Jadi pemberian sumbangan baucar tunai daripada kerajaan negeri ini amat bermakna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi penerima sumbangan baucar tunai, Ridzuan Zainuddin, 63, yang merupakan seorang pekebun kecil di Ayer Kuning berkata, pemberian sumbangan itu membolehkannya, isteri dan empat anak yang masih bersekolah menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
“Memang ramai orang menganggap nilai RM150 itu kecil tetapi bagi kami orang tidak berapa senang, ia besar.
“Isteri tidak bekerja selain pendapatan saya sebagai pekebun tidak seberapa dengan cuaca tidak menentu sekarang, lagi-lagi banyak tanaman dirosakkan oleh haiwan seperti lembu, babi dan kerbau,” katanya. – UTUSAN










